ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

Selasa, 2 Februari 2016

Kenderaan Berat Dilarang, Henti Pembinaan

Pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selamat empat hari bermula Sabtu dan Ahad ini.
Seremban: Kementerian Kerja Raya mengeluarkan arahan semua kerja pembinaan dan penyelenggaraan di sepanjang lebuh raya kecuali kerja kritikal dihentikan bermula hari ini hingga 15 Februari.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, langkah ini dapat mengurangkan kesesakan di lebuh raya disebabkan kerja pembinaan dan penyenggaraan.

Beliau berkata, pada masa sama pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selamat empat hari bermula Sabtu dan Ahad ini.

"Arahan sama juga akan dilaksanakan pada 13 dan 14 Februari berikutan jangkaan peningkatan trafik pada hari berkenaan.

"Justeru, Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) akan mengambil inisiatif, terutamanya merangka jadual perjalanan, menempatkan anggota keselamatan di plaza tol, kawasan Rehat dan Rawat (R&R)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyempurnaan Perlampuan Jalan di sepanjang Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Kempen Keselamatan Sempena Tahun Baru Cina 2016 di Plaza Tol Setul, hari ini.

Rosnah berkata, kementerian membelanjakan RM27.8 juta bagi melaksanakan kerja penyelenggaraan di 60 lokasi jalan dan lebuh raya yang kerap berlaku kemalangan sepanjang tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, Rosnah berkata, syarikat konsesi Lebuhraya LEKAS membelanjakan RM16 juta untuk pemasangan lampu LED di sepanjang 24 kilometer lebuh raya berkenaan.

Beliau berkata, pemasangan itu membabitkan 549 tiang dan pemilihan lampu itu mampu menjimatkan tenaga dan mesra alam.

"Saya dimaklumkan LEKAS turut membelanjakan tambahan RM1 juta menukar lampu jenis 'high pressure sodium vapour' kepada lampu LED di bangunan dan lampu limpah di Plaza Tol Setul dan laluan utama Setul," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan