ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

Selasa, 14 Jun 2016

22 Pemandu Guna Lorong Kecemasan Bakal Didakwa

"Kita beri tempoh 21 hari hingga 21 Jun ini kepada mereka yang belum hadir. Jangan tunggu hingga tempoh itu berakhir kerana pihak JPJ mempunyai bukti kenderaan terbabit berada di Selangor dan Johor, - Datuk V Valluvan"
MELAKA: Seramai 22 pemandu kenderaan yang dikenal pasti menggunakan lorong kecemasan sehingga menghalang ambulans membantu mangsa nahas di Kilometer 228 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Simpang Ampat, Alor Gajah di sini, bulan lalu, bakal didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pada 18 Julai ini. 

Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk V Valluvan, berkata pendakwaan terhadap semua pemandu berusia lingkungan 20-an itu susulan notis temu siasat diberikan kepada mereka pada 26 Mei lalu untuk melaporkan diri ke JPJ Melaka bagi membantu siasatan. 

"Hanya 22 daripada 79 kenderaan yang dikesan menggunakan lorong kecemasan ketika kejadian hadir ke JPJ Melaka setakat ini selepas kita menghantar notis temu siasat. 

"Kita beri tempoh 21 hari hingga 21 Jun ini kepada mereka yang belum hadir. Jangan tunggu hingga tempoh itu berakhir kerana pihak JPJ mempunyai bukti kenderaan terbabit berada di Selangor dan Johor," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Melaka, Bukit Katil, di sini, hari ini. 

Terdahulu, Valluvan melawat dan menyampaikan sumbangan kepada ibu dua beradik yang maut dalam kejadian itu, Patimah Md Kayos, 50, di Kampung Solok Gaung, Ayer Molek di sini. 

Dalam kejadian jam 3.30 petang pada 22 Mei lalu, Mohamad Ma'arof Shadik Mohamed, 37 dan adiknya, Alam Iqbal, 19, mulanya cedera parah selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah kereta yang rosak di lorong kecemasan. 

Tindakan pemandu mengguna lorong kecemasan sehingga menghalang laluan terbabit, menyebabkan ambulans yang berkejar ke situ mengambil masa untuk sampai. Kelewatan rawatan menyebabkan dua beradik terbabit meninggal dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan