ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

Ahad, 11 Oktober 2015

Hasrat kumpul di kenduri kahwin tak tercapai

Keadaan kereta mangsa.
KUALA LUMPUR - "Saya terkilan hasrat kami adik-beradik untuk berkumpul pada majlis perkahwinan seorang saudara di Shah Alam hari ini tidak kesampaian."
  
Itu luahan Zainal Alam Kamaruzzaman, 56, adik kepada Dzulkarnain Kamaruzzaman, 64, yang terbunuh apabila kereta yang dinaikinya dihempap papan tanda selepas struktur itu dilanggar sebuah lori kontena di KM399.6 Lebuhraya Plus arah utara, dekat Tanjung Malim, pagi tadi.

Turut terkorban dalam kejadian 6.35 pagi itu ialah isteri Dzulkarnain, Jamnah Ibrahim, 56 dan anak perempuan mereka, Nur Juliana, 17.
  
Menurut Zainal Alam, beliau dimaklumkan mengenai tragedi itu oleh seorang  saudara pada majlis perkahwinan berkenaan.

Papan tanda selepas struktur itu dilanggar sebuah lori kontena di KM399.6 Lebuhraya Plus arah utara, dekat Tanjung Malim, pagi tadi
"Saya sungguh terkejut apabila mengetahui bahawa kemalangan itu turut membabitkan isteri dan anak perempuan arwah," kata Zainal Alam, yang juga Pengurus Besar Lebuhraya Klang Selatan (SKVE), ketika dihubungi Bernama.
 
"Saudara saya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi polis yang menjumpai kad kenduri kahwin dalam kereta milik arwah," jelas Zainal Alam.
  
Katanya, beliau dan Allahyarham Dzulkarnain sudah merancang untuk bertemu sekitar 9 pagi tadi untuk menghadiri majlis perkahwinan itu.
  
Zainal Alam berkata abangnya, anak kelima daripada 10 beradik, ketika hayatnya begitu mengambil berat dan membantu adik beradik yang lain.
  
"Selain itu, arwah adalah seorang profesional dan komited dalam menjalankan tugasnya," kata Zainal Alam mengenai arwah abangya yang pernah menjadi Ketua Pengarah Pusat Penyelidikan Galian Ipoh.
  
Jenazah tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baharu untuk bedah siasat sebelum dibawa ke Masjid Taman Meru Heights Ipoh untuk disolatkan dan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya.

Sementara itu di IPOH, isteri kedua Allahyarham Dzulkarnain, Rozita Adnan, 40 berkata suaminya berpesan supaya menjaga anak-anak dengan elok kira-kira dua jam sebelum mengambil isteri pertamanya, Jamnah Ibrahim, 56, untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya, di Shah Alam.
  
"Dia bergerak ke rumah isteri pertamanya, kira-kira pukul 4 pagi tadi. Dia (suami) minta jaga kelima-lima anak kami dengan baik," katanya ketika ditemui pemberita di rumah Jamnah, di Persiaran Bukit Meru 11, di sini hari ini.
  
Beliau berkata, suaminya sempat minum kopi dan melihat kesemua wajah anak mereka yang berusia antara enam hingga 12 tahun yang sedang tidur.
  
"Tiada perubahan yang ditunjukkan oleh suami, tidak sangka ini kali terakhir saya dapat lihat wajahnya," katanya yang menetap di Taman Perpaduan, di sini.
  
Rozita dan Dzulkarnain telah berumah tangga kira-kira 13 tahun dan dikurniakan lima cahaya mata iaitu empat lelaki dan seorang perempuan bersama arwah.

Sementara itu, adik lelaki Dzulkarnain iaitu Zahirul Baharin Kamaruzzaman, 51, berkata pada Sept lepas, abangnya ada menghubunginya untuk menjemput ke majlis pertunangan anak sulungnya Nor Nadia, 26, yang bakal berlangsung 30 Okt ini.
  
"Masa itu suaranya sangat gembira, beliau berkali-kali minta saya untuk hadir," katanya.
  
Beliau yang menetap di Bukit Dumbar, Pulau Pinang berkata kali terakhir berjumpa dengan abang dan kakak iparnya pada bulan Ramadan lepas di majlis kenduri perkahwinan sepupu mereka di Shah Alam.
  
Katanya, beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 8.20 pagi tadi melalui panggilan telefon daripada keluarganya yang lain.
  
"Saya bergerak ke Ipoh bersama isteri dan anak-anaknya. Tadi tengah sibuk menyertai Hari Sukan Malaysia sebelum mendapat tahu perkara ini,"katanya.
  
Selain Nor Nadia dan arwah Nor Juliana, Dzulkarnain dan Jamnah turut meninggalkan dua lagi cahaya mata iaitu Nor Elina, 24 dan Dzul Azrai, 19.
  
Manakala bersama Rozita, anak mereka ialah Dzul Azman, 12; Dzul Imran, 10; Dzul Daniel dan Dzul Danish iaitu kembar yang berusia lapan tahun serta Dzulia Zara, 6. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan