ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

Rabu, 21 Oktober 2015

LPT2 : Kecuaian Pemandu Penyumbang 70 Peratus Kemalangan

Kecuaian pemandu antara punca kemalangan maut sering berlaku di Lebuhraya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2). 

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan kemalangan maut sering berlaku sejak LPT II dibuka pada 2011 lalu.

“Statistik dari Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang dikeluarkan menunjukkan faktor kelalaian merupakan penyumbang terbesar kemalangan maut berlaku iaitu sebanyak 70 peratus manakala faktor persekitaran (14 peratus), masalah kenderaan (sembilan peratus) dan lain-lain.

“Kemalangan yang berlaku kebanyakannya di jalan lurus dengan persekitaran baik pada waktu siang bukannya di jalan beralun seperti yang digemburkan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Solat Hajat LPT II di Kompleks Tol Ajil, Kuala Berang, semalam.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Lembaga Lebuhraya Malaysia Wilayah Timur, Ahmad Iskandar Abd Kadir serta Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang, Dato’ Rozi Mamat dan Ghazali Taib.

Majlis solat hajat yang diadakan untuk memohon keselamatan para pengguna LPT II turut disertai lebih dari 500 jemaah terdiri daripada penduduk setempat.

Bagi mengurangkan kemalangan yang berlaku, kerajaan negeri turut menyarankan beberapa kaedah untuk mengurangkan kemalangan yang sering berlaku.

Ahmad Razif berkata kerajaan negeri akan melakukan perbincangan dengan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta LLM untuk menempatkan anggota JPAM di kawasan yang sering berlaku kemalangan.

“Perbincangan akan dilakukan bagi membina pondok sementara JPAM di kawasan yang kerap berlaku kemalangan kerana mereka menyediakan segala kemudahan jika terjadi sebarang perkara tidak diingini.

“Selain itu, papan tanda turut akan dibina di beberapa kawasan supaya pemandu lebih peka dan lebih berhati-hati ketika memandu,” katanya.
Tambahnya, pihak kerajaan turut memohon pada PDRM agar lebih kerap mengadakan perangkap had laju di LPT2.

“Jika perangkap had laju sering dilakukan di kawasan ini, pemandu akan lebih mengikuti had laju sekaligus dapat mengurangkan kemalangan yang sering berlaku di sini,” katanya.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, sejak lebuhraya tersebut dibuka pada Januari 2011 sehingga 16 Oktober sebanyak 63 kes kemalangan maut dicatatkan dan 82 kematian direkodkan.
Manakala Hulu Terengganu mencatatkan kemalangan jalan raya tertinggi di LPT2 iaitu 1,024 kes diikuti Kemaman (421), Dungun (325) dan Kuala Terengganu (219).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan