ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

Jumaat, 16 Oktober 2015

Terengganu Bincang Keselamatan LPT2


KEMAMAN - Kerajaan negeri Terengganu akan memanggil beberapa pihak termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membincangkan isu keselamatan pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dalam masa terdekat. 


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Ir, Rosli Othman berkata antara isu yang akan diketengahkan ialah peningkatan kes kemalangan maut di kawasan lebuh raya tersebut sehingga menimbulkan keresahan kalangan pengguna. "Pemantauan telah dilakukan sebelum ini dan didapati struktur berada dalam keadaan baik dan ciri-ciri keselamatan juga berada dalam yang terbaik," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 


Semalam enam sekeluarga maut selepas kereta Toyota Camry yang dinaiki mereka dari Kuala Terengganu ke Kuantan terbabas dan terperosok di bawah sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan. Kemalangan pada kira-kira jam 12.30 tengah hari itu menyebabkan Azaman Ramli, 49, dan isteri Noor Akmal Mohd Zain, 48, serta anak-anak Noor Amira Syahirah Alias, 22, Aliff Hateem Azaman, 16, Aliff Hakim Azaman, 12, dan Aqeel Muslim Abdullah, 3,terbunuh di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan. 


Beliau juga turut meninjau lokasi kemalangan maut itu turut melahirkan rasa simpatinya kepada mangsa dan keluarga, dan akan mengarahkan pihak berwajib melakukan penambahbaikan dan pemantauan yang kerap di sepanjang lebuh raya tersebut. 

 "Insiden yang berlaku ini begitu mengejutkan saya dan merupakan suatu kejadian tragis sehingga mengorbankan banyak nyawa, apa yang berlaku mungkin disebabkan oleh pelbagai faktor termasuk kecuaian pemandu itu sendiri," katanya. 


 "Kita akan mengarahkan pihak peronda lebuh raya dan beberapa pihak penguatkuasa seperti polis supaya melakukan pemantauan yang lebih kerap berbanding sebelum ini dan mengambil tindakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan