ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

ETC FOR SMOOTHER JOURNEY

Khamis, 22 Oktober 2015

Selangor Tidak Akan Turunkan Kadar Tol

PKNS hanya mempunyai 30 peratus pegangan saham dalam Kesas, manakala KPS mempunyai pegangan 20 peratus saham dalam konsesi SPRINT.
Kerajaan PKR Selangor tidak akan menyerap atau menurunkan kadar tol di Le­buh Raya Shah Alam (Kesas) dan SPRINT meskipun mereka membantah kenaikan tol di 18 lebuh raya utama di Lembah Klang berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebaliknya memberikan alasan bahawa perkara itu sukar dilakukan meskipun kerajaan negeri menerusi anak syarikatnya, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) masing-masing mempunyai pegangan saham dalam kedua-dua konsesi lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, setakat ini, PKNS hanya mempunyai 30 peratus pegangan saham dalam Kesas, manakala KPS mempunyai pegangan 20 peratus saham dalam konsesi SPRINT.

“Itu luar bidang kuasa kita (kerajaan negeri), kita hanya minoriti (dalam pegangan saham). Namun, kita akan gunakan wakil kita bantah dalam isu kenaikan tol,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin turut menyatakan pihaknya telah meminta PKNS dan KPS untuk menggunakan kedudukannya sebagai pemegang saham syarikat konsesi-konsesi lebuh raya itu untuk mengadakan mesyuarat khas lembaga pengarah mengenai kenaikan tersebut.

“Keputusan menaikkan tol Lebuh Raya Kesas dan SPRINT tidak dibincangkan dan tidak diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah Kesas Holdings Berhad dan Ksas Sdn. Bhd. serta Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Holdings Sdn. Bhd. dan Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd.

“Justeru, kerajaan negeri melalui wakilnya telahpun meminta Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah dipanggil segera untuk menggunakan kuasa minoriti bagi menolak cadangan kenaikan kadar tol ini,” jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan